Islam Di Alam Melayu
2.1
Teori Kedatangan Islam Ke Nusantara
Proses
Pengislaman
Pada
dasarnya proses Islamisasi di Nusantara berlaku dalam dua tahap:
1. Dari abad
ke-7 —13 M yang kebanyakannya dijalankan oleh orang-orang Arab sendiri.
2. Dari abad
ke-13 M dan seterusnya yang dijalankan oleh mubaligh-mubaligh India, Arab dan
juga orang-orang tempatan. Tahap ini pula memperlihatkan beberapa ciri yang
menarik:
(i) Pada
tahun 1200-1400 M, bidang Fiqhiah yang banyak memainkan peranannya di kalangan
orang-orang Melayu., sedangkan konsep Tauhid masih kabur. Tahap ini dapat
disifatkan sebagai perubahan dari segi luaran.
(ii) Pada
tahun 1400-1700 M, di samping meneruskan proses di atas, aspek yang banyak
memainkan peranannya ialah Ilmu Tasawuf dan Ilmu kalam, iaitu pentafsiran
konsep-konsep Tauhid belaka. Tahap ini dikatakan telah merobah 'jiwa'
orang-orang Melayu.
(iii) Sejak
tahun 1700 M dan seterusnya, di samping menyambung tahap-tahap (i) dan (ii) di
atas, tahap inilah bermulanya proses pembaratan (Westernisation) yang
menekankan sikap rasionalisme, individualisme dan internasionalisme yang
sebenarnya yang telah dimulai oleh Islam dulu.
Beberapa
hujah dapat dikemukakan di sini tentang bukti-bukti kedatangan Islam sejak abad
pertama Hijrah lagi. Pertama-tama kita harus merujuk kepada hubungan negeri
Arab dengan China melalui kawasan-kawasan Asia Tenggara sejak zaman Jahiliah
lagi. Bagi Dr. O.W. Wolters, hubungan perdagangan antara Parsi dengan China
telahpun wujud sejak abad ke-3 M, yang akhirnya turut mempengaruhi sejarah
Indonesia Barat. Dikatakan bahawa China sangat memerlukan barang-barang
'Po-ssu' (Parsi), tetapi dengan tertutupnya jalan perdagangan darat,
barang-barang 'Po-ssu' itu dikeluarkan oleh Indonesia sendiri, iaitu sekitar
abad-abad ke-5 dan 6 M. Pusat baru yang mengeluarkannya ialah Kan-to-li, iaitu
pendahulu kerajaan Srivijaya.
Bagi
Marshall Broomhall, perhubungan antara orang-orang Arab dengan China berlaku
pada pertengahan abad ke-5 M., dan baru berpengaruh di zaman Tang (618-907),
hingga dapat mencetuskan pemberontakan pada 758 M. Bagaimanapun pada 878 M,
tercetus suatu pemberontakan petani di Canton pimpinan Huang Chao yang
mengorbankan antara 120,000 hingga 200,000 orang-orang Islam (Arab dan Parsi).
Bagi mereka
yang sempat melarikan diri kemudiannya telah berhijrah ke Nusantara. Menurut
Prof. Wang Gungwu, mulai abad ke-9 M, pedagang-pedagang Arab telah menguasai
perdagangan-perdagangan Nanhai (Asia Tenggara). Kapal-kapal mereka dikata- kan
telah belayar dari Oman ke Kedah, iaitu pelabuhan kerajaan Srivijaya.
Sebenarnya sekitar 850 M, Kedah adalah sebuah pelabuhan yang terpenting bagi
kapal-kapal Arab. Ibnu Khuzdazbih sendiri menyebutkan bahawa pada tahun 846 M
terdapat pedagang-pedagang Arab di Kedah. Hakikat adanya mereka di sini
terbukti dengan terjumpanya dua keping dirham tempaan Baghdad tahun 848 M,
iaitu di zaman khalifah Al-Mutawakkil bin Al-Muktasim.
Wujudnya
perhubungan orang-orang Arab dengan kawasan-kawasan Asia Tenggara sejak abad
pertama Hijrah lagi diakui oleh Prof. Thomas Arnold: It (Islam) may have been
carried thither by the Arab traders in the early centuries of the Hijrah, long
before we have any historical notices of such influences being at work.
Dari apa
yang dikemukakan di atas, nyatalah bahawa faktor perdaganganlah yang membawa
orang-orang Arab ke China melalui kawasan Asia Tenggara. Sungguhpun Asia
Tenggara tidak lebih sebagai kawasan lalu lintas perdagangan sahaja, namun
terdapat bukti-bukti yang mereka telah mengadakan penempatan atau perkampungan
di sini sejak permulaan Islam. Misalnya suatu rombongan sahabat-sahabat Nabi
yang diketuai oleh Wahab bin Abi Qabahah dikatakan telah mengunjungi Riau pada
627 M. Selama lima tahun mereka di sana, baru mereka pulang ke Madinah, iaitu
sebulan setelah wafatnya suatu perkampungan orang-orang Arab di Sumatera Timur
pada 674 M. Ini ditegaskan juga oleh J.C. Van Leur: It goes without saying that
there were also Moslem colonies to be found at the intermediary stations on the
long trade route in Southeast Asia. That there are allusions to Arab
settlements or colonies on the west coast of Sumatra as early as 674 AD.
Hubungan
antara orang-orang Arab (Islam) dengan Nusantara menjadi lebih bermakna di
zaman Bani Umayyah. Muawiyah sendiri pernah mengutus surat kepada Raja
Srivijaya 'Lokitarvarman' di Jambi melalui pedagang-pedagang Parsi, dan
mempelawanya memeluk Islam serta mengadakan hubungan perdagangan dengan
Damshik.
Dari
catatan-catatan Ferrand dan Schrieke pula, disebutkan bahawa suatu armada yang
terdiri daripada 35 buah kapal-kapal Parsi telah berlepas ke Ceylon menuju
Palembang pada 717 M, dan tinggal di sana selama lima bulan, kemudian baru
menuju China. Tidak syak lagi bahawa angkatan ini adalah milik Khalifah Umar
Abdul Aziz (717-720) yang mana banyak sekali mengirim missi-missi dakwah Islam
ke serata negeri.
Bahkan di
zaman Umarlah Raja Srivijaya 'Srindavarman' (pengganti Lokitarvarman) dikatakan
telah memeluk Islam, hingga sepanjang 100 tahun kerajaannya masyhur dengan nama
'Kerajaan Sri Buddha Islam'. Bukti adanya hubungan antara Umar dengan Raja
Srindavarman ini terdapat pada copy correspondence antara Umar dengannya, yang
fotokopinya masih tersimpan dalam koleksi General Abdul Kadir di Muzium
Sepanyol di Madrid.
Bagaimanapun
selepas itu pengaruh Islam lenyap di Srivijaya akibat counteraction dari wangsa
Tang yang merasa kepentingan ekonominya tergugat oleh kegiatan-kegiatan Bani
Umayyah. Untuk itu diutusnya dua orang sami Buddha-Mahayana iaitu Wajarabodhi
dan Amoghabajra ke Srivijaya. Usaha-usaha China telah mengakibatkan kematian
Raja Srivijaya Indravarman pada 730 M, dan dengan itu pusatnya lalu beralih
dari Jambi ke Palembang.
Kesimpulan
1. Faktor
perdagangan telah membawa orang-orang Arab ke Nusantara, iaitu sejak zaman
Jahiliah lagi.
2.
Kegiatan-kegiatan dakwah Islamiah pada peringkat awalnya adalah dilakukan oleh
orang-orang Arab sendiri.
3.
Missi-missi dakwah Islamiah ke Nusantara telah bermula sejak zaman Rasulullah
lagi, dan semakin diperhebatkan oleh Umar Abdul Aziz. Semuanya ini berlaku
sepanjang abad pertama Hijrah lagi.
Teori-Teori
Kedatangan Islam
Beberapa
teori telah dikemukakan tentang asal-usul Agama Islam di Nusantara; adakah
ianya datang melalui India dan China, ataupun terus dari Arab atau Parsi.
(i)
Teori dari India
Berbanding
dengan teori-teori lain, teori dari India-lah yang lebih banyak pendukungnya.
Bagaimanapun sarjana-sarjana tidak sependapat tentang dari daerah manakah di
India tersebut yang membawa Islam ke sini. Van Ronkel misalnya menganggap yang
Islam dibawa dari India Selatan, dengan alasan bahawa bentuk-bentuk popular
Islam seperti ciri-ciri mistik, sastera roman dan sebagainya di Indonesia itu
adalah berasal dari India Selatan. Sebab itu katanya Islam di Indonesia berasal
dari sana, bukannya terus dari Arab.
Jika van
Ronkel menekankan India Selatan, Moquette dan R.A. Kern pula memilih Gujerat
sebagai tempat asalnya Islam. Dalam hujahnya. Moquette mengemukakan bukti
tentang adanya kesamaan batu-batu nisan di Pasai (1428) dan di Gerisek (1419)
dengan batu nisan di Gujerat. Jadi Islam se- mestinya berasal dari kawasan
Gujerat.
Teori dari
Gujerat ini nampaknya dicabar oleh G.E. Morrison, sebab baginya. ketika
Samudera diislamkan, Gujerat dan daerah-daerah lain di India masih lagi
beragama Hindu. Menurutnya Bengal-lah yang lebih dulu menerima Islam, iaitu
setelah ditawan oleh orang-orang Islam sejak awal abad ke-13 M, kemudian baru
diikuti oleh kawasan-kawasan lain. Lagipun Gujerat bermazhab Hanafi, sedangkan
Nusantara, seperti juga Bengal, adalah menganut mazhab Shafie. Sebab itu Bengal
lebih menasabah dari Gujerat sebagai tempat kedatangan Islam.
Di samping
Morrison, S.Q. Fatimi juga menolak hujah tersebut. Menurutnya, Malikus-Salleh
bukanlah orang tempatan, tetapi orang Benggali. Sebab itu negeri Bengalalah
negeri yang utama dari mana asalnya agama Islam di Nusantara. Mengenai
batu-batu nisan tersebut, bagi Fatimi batu nisan Malikus-Salleh (1297) berbeza
daripada batu nisan di Pasai (1428) dan batu nisan Malik Ibrahim di Gerisek
(1419). Jika Kern berpendapat bahawa batu nisan Malikus-Salleh ju- ga berasal
dari Gujerat oleh kerana batu-batu nisan di Pasai dan di Gerisek juga berasal
dari sana, adalah kurang tepat. Gujerat hanya baru memeluk Islam menjelang
akhir abad ke-13, setelah itu baru hubungan perniagaan dengan Nusantara
bertambah rancak. Batu-batu nisan dari Gujerat memangnya sangat digemari,
tetapi ia baru dikirim ke Nusantara selepas 200 tahun mangkatnya
Malikus-Salleh. Dari segi lain pula, percubaan Moquette mengaitkan tempat
asalnya batu-batu nisan tersebut sebagai membuktikan tempat asalnya Islam di
rantau ini nyatalah suatu kekeliruan yang besar. Bagi Syed Muhammad Naguib
Al-Attas, adalah batu-batu di sini cuma menunjukkan yang ianya mudah dipesan
dari sana, bukannya menunjukkan Islam datang dari sana.
Sebenarnya
pendapat Morrison bahawa Gujerat tidak menganut mazhab Shafie tidaklah begitu
tepat, sebab pada peringkat awalnya kawasan-kawasan di barat India adalah
menganut mazhab tersebut, sama seperti sebelah selatannya, termasuk Bengal
sendiri. Tentang persamaan mazhab ini, ada juga yang mengusulkan yang Islam
dibawa dari pantai Malabar (Coromandel), sebab kawasan ini menganut mazhab
Shafie. Teori dari Malabar ini diperkukuhkan dengan peranan 'Fakir Muhammad'
yang berasal dari sana (Malabar) dan mengislamkan Merah Silu (Malikus-Salleh)
di Pasai. Tetapi hujah ini ditolak oleh Hamka, sebab katanya, Malabar atau Mu'tabar
yang bermakna 'tempat persinggahan' itu hanyalah menjadi tempat persinggahan
Syeikh Ismail yang diutus oleh Sharif Makkah untuk mengislamkan Merah Silu. Di
Malabar inilah dia disertai oleh Fakir Muhammad, bekas seorang raja (Sultan
Muhammad) keturunan Abu Bakar Al-Siddiq, bukannya orang Malabar jati.
Kesimpulan
1.
Sarjana-sarjana tidak sependapat tentang dari kawasan manakah di India tersebut
sebagai tempat asalnya Islam di rantau ini.
2.
Kebanyakan hujah-hujah untuk menegakkan teori ini hanya mengemukakan abad ke-13
M sebagai tarikh bermulanya Islam di Nusantara, walhalnya proses Islamisasi di
sini sudah pun berjalan sejak abad pertama Hijrah lagi.
(ii)
Teori dan China/Indochina
Selain dari
teori melalui India tersebut, Islam juga dikatakan datang ke Nusantara melalui
China atau Indochina. Sebagai hujahnya, Syed Naguib Al-Attas menyebut tentang
pemberontakan di Canton pada tahun 877 M yang mengorbankan kira-kira 120,000
hingga 200,000 pedagang-pedagang yang kebanyakannya beragama Islam (Arab dan Parsi).
Yang lain-lainnya terpaksa menyelamatkan dirinya dengan berhijrah ke Kalah
(Kedah), yang kemudiannya mengambilalih peranan Canton sebagai pelabuhan utama
bagi pedagang-pedagang Arab. Ujar Syed Naguib: This event seems to have marked
the beginning of the coming of Islam in the Archipelago, yakin peristiwa ini
menandakan permulaan kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu.
Di kalangan
pendukung-pendukung teori ini, nampaknya S.Q. Fatimilah yang lebih nyaring
suaranya. Dalam hujahnya, beliau menyebut tentang kewujudan kerajaan Bani
Champa (1000-1471) yang dianggapnya didirikan oleh pelarian-pelarian Syiah
Alawiyah dari Damshik. Tetapi akibat serangan kerajaan Annam, orang-orang Islam
Alawiyah ini lalu berpindah ke Makkah dan Acheh. Hujah lain ialah tentang Batu
Bersurat di Terengganu yang bertarikh 1386 (sebenarnya bertarikh 1303 M) yang
disamakannya dengan batu nisan di Champa Selatan. Selain dari Fatimi juga cuba
memban- dingkan batu nisan Fatimah binti Maimon (1082 di Leran, Jawa Timur
dengan batu-batu nisan di Phan-rang, Champa Selatan. (1039 dan 1035).
Kesamaan-kesamaan
seperti ini bagi Fatimi membuktikan yang Islam di Nusantara datang melalui
Champa Selatan (Indochina). Menurut Dr. Abdul Jalil Hj. Hassan, dalam catatan
sejarah Chau-Ju-Kua (1225 M) terdapat negeri Islam yang disebut sebagai
'Fo-lo-an'. Bagi Paul Wheatley, besar kemungkinan Fo-lo-an ini ialah Kuala
Brang di Terenggnu yang menjalankan perniagaan dengan orang Arab di samping
Srivijaya. Dengan terjumpanya Batu Bersurat (1303 M) di Kuala Brang tersebut,
nyatalah betapa pentingnya peranan Terengganu sebagai kawasan pengaruh Islam
ketika itu. Dan ini juga menunjukkan yang Islam datang melalui Pantai Timur,
yang bererti ianya datang melalui China atau Indochina.
Baru-baru
ini pula ditemui Batu Bersurat di Teluk Cik Munah, Pahang yang tarikhnya
dikatakan 419 H, iaitu lebih awal dari Batu Bersurat di Terengganu yang
bertarikh 702 H (1303 M) itu. Bukti terbaru ini dapat juga menunjukkan ba- hawa
kemungkinan Islam masuk melalui Pantai Timur, yang tentunya bererti dari China
atau Indochina.
(iii)
Teori dari Arab/Parsi
Jika tadinya
dikatakan Islam di Nusantara datang melalui India atau China, kini timbul
kecenderungan baru yang mengatakan bahawa ianya dibawa terus dari Tanah Arab
atau Parsi. Sebenarnya hujah-hujah untuk menguatkan teori ini tidaklah sukar
dicari, memadai dengan meninjau kegiatan pedagang-pedagang Arab di kawasan Asia
Tenggara sejak zaman Jahiliah lagi. Seperti kata Wang Gungwu dan C.A. Majul,
sejak pedagang-pedagang Arab memonopoli kegiatan-kegiatan perdagangan dari
India dan Mesir, mereka mulai menguasai perdagangan 'Nanhai' (Asia Tenggara).
Ertinya sehingga abad ke-9 M, merekalah yang menguasai kegiatan perdagangan
laut antara Mesir, India, Asia Tenggara dan China, serta mendirikan penempatan-penempatan
di kawasan-kawasan pantai Nusantara. Semuanya ini berlaku sejak zaman Jahiliah,
dan terus berlaku sepanjang abad pertama Hijrah lagi.
Dengan
mengkaji proses Islamisasi di Nusantara di peringkat awal tersebut, kita sudah
dapat membuat kesimpulan bahawa orang-orang Arab-lah yang sebenarnya merintis
jalan. meskipun dengan agak pasif. Selepas itu baru diikuti oleh
mubaligh-mubaligh India pada abad ke-13, seperti yang sudah dijelaskan.
Bagaimanapun kita masih dapat mengemukakan hujah-hujah lain buat mengukuhkan
teori ini, dan di antara sarjana-sarjana yang paling menonjol dalam teori ini
ialah Syed Muhammad Al-Naguib Al-Attas dan Hamka.
Dengan
menitik-beratkan alasan-alasannya dari sudut 'dalaman', iaitu dari segi bahasa
dan kesusasteraan, Syed Naguib berpendapat:
1. Jika
ditinjau kenyataan hasil kesusasteraan keagamaan yang telah merujuk kepada
sumber-sumber tulisan lama Islam yang berkenaan dengan Kepulauan ini kita akan
dapati bahawa tiada suatu pun laporan, rujukan atau sebutan yang merujuk kepada
penulis atau kepada kitab yang berasal dari India atau digubah oleh orang
India.
2.
Mubaligh-mubaligh lama Islam di daerah ini pun terdiri dari orang-orang Arab
atau Arab/Parsi, seperti yang ternyata pada gaya nama dan gelaran mereka
masmg-masing.
3. Kandungan
faham keagamaan yang dibawa oleh mereka adalah bersifat Timur Tengah, bukan
India. Misalnya kedudukan dan cara penghuraian akidah-akidah pelbagai mazhab
Ilmu Tasawuf, peribentuk tulisan Jawi dan corak beberapa huruf-hurufnya, nama
gelaran bagi hari-hari mingguan, cara melafazkan Al-Quran dan lain-lainnya
menyatakan ciri-ciri tegas bangsa Arab, bukan India, sebagai pembawa dan
penyebar asli agama Islam di rantau ini.
Bagi Hamka
pula, adalah menjadi kepercayaannya dengan pedagang turun-temurun dalam sejarah
pada seluruh negeri-negeri Melayu, bahawasanya mereka menerima Islam dari Arab,
atau dari salah seorang Syeikh atau seorang Waliullah dari Arab. Kepercayaan
ini diperkuatkan oleh alasan-alasan berikut:
1.
Pengislaman ke negeri-negeri Melayu adalah langsung dari sumbernya Makkah,
iaitu dengan terutusnya Syeikh Ismail oleh Sharif Makkah yang singgah di
Malabar untuk mengambil 'Fakir Muhammad' (keturunan Abu Bakar Al-Siddiq)
menyertainya ke Nusantara un- tuk mengislamkan Merah Silu.
2. Pengislaman
Parameswara dilakukan oleh Sayyid Abdul Aziz yang datang dari Jeddah.
3.
Pengislaman di Acheh dirintis oleh Syeikh Abdullah Arif yang datang dari Tanah
Arab bersama muridnya Burhanuddin.
4. Maulana
Malik Ibrahim (salah seorang Wali Songo) yang turut mempelopori penyiaran Islam
di Jawa adalah keturunan Ali Zainal Abidin, cucu Sayidina Ali bin Abi Talib.
5. Susan
Gunung Jati atau Sharif Hidayatullah salah seorang Wali Songo yang turut
mengembangkan Islam di Jawa juga dikatakan keturunan bangsawan Quraisy.
6.
Pengislaman Raja Kedah seperti tersebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa
dilakukan oleh Syeikh Abdullah Yamani, seorang ulama Arab.
7. Raja-Raja
Maluku (Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo) dikatakan keturunan empat saudara,
putera Imam Jaafar Al-Sadiq, keturunan Rasulullah.
8.
Pengislaman di Sukadana, Kalimantan dilakukan oleh Syeikh Shamsuddin dari
Makkah.
9.
Pengislaman Raja Tidore iaitu Chireli Lijatu dilakukan oleh Syeikh Mansor dari
Tanah Arab, yang lalu menukar namanya menjadi Sultan Jamaluddin.
10. Sampai
kini Raja-Raja Brunei menganggap bahawa nenek-moyang mereka adalah bangsa Arab,
keturunan Nabi.
11.
Kemasukan Islam ke Mindanao dimulai oleh keturunan-keturunan Sharif dari
Makkah, seperti Sharif Kebungsuan yang datang dari Johor
12.
Pengislaman di Pulau Sulu diusahakan oleh Sayyid Abdul Aziz yang mengislamkan
Parameswara dulu, dan juga Abu Bakar, seorang penyair Arab.
13.
Raja-raja lain juga ada yang berasal dari orang-orang Arab, seperti Sultan
Badrul-Alam (1699-1702) dan penggantinya Sultan Perkasa Alam di Acheh,
hulubalang-hulubalang di Acheh sehingga 1946, Sultan-Sultan Siak Seri
Inderapura, Sultan di Pontianak dan Raja-Raja Perlis.
14.
Tersangat dalamnya pengaruh mazhab Shafie di negeri-negeri Melayu membuktikan
bahawa mubaligh utama ialah orang-orang Arab. Sezaman dengan tegaknya kerajaan
Samudera-Pasai ialah kerajaan Mameluk di Mesir yang menganut mazhab Shafie.
Adalah jelas bahawa nama-nama Sultan seperti Malikus-Salleh dan Malikuz-Zahir
adalah diambil (dipengaruhi) dari nama-nama gelaran Sultan-sultan Mameluk
tersebut.Di istana Sultan Malikuz-Zahir di Pasai terdapat Sayyid Al-Shirazi,
seo- rang ulama mazhab Shafie dari Parsi yang dilantik sebagai Kadi Besar
Pasai.
Demikianlah
antara lain hujah-hujah tentang kedatangan Islam dari Arab. Sebenarnya dari
segi pandangan Islam, soal siapa atau bangsa apa yang membawa Islam itu mungkin
tidak begitu penting, asalkan apa yang dibawanya itu ialah Islam. Tetapi dari
segi pandangan sejarah, kata Syed Naguib Al-Attas, sangatlah penting bagi para
ahlinya mengemukakan butir-butir faktanya dengan tepat dan benar, sebab
kesimpulan-kesimpulan yang akan dirumuskan dari butir-butir fakta itu akan
mempengaruhi corak perumusan teori penseja-rahan.
Sebagai
kesimpulannya, kita petik rumusan-rumusan dari 'Seminar Sejarah Masuknya Islam
ke Indonesia' yang diadakan di Medan pada 17-20 Mac 1963.
1. Bahawa
menurut sumber-sumber yang kita ketahui, Islam untuk pertama kalinya telah
masuk ke Indonesia pada abad pertama Hijrah dan langsung dari Arab.
2. Bahawa
daerah yang pertama didatangi oleh Islam ialah pesisir Sumatera; dan bahawa
setelah terbentuknya masyarakat Islam, maka Raja Islam yang pertama berada di
Acheh.
3. Bahawa
dalam proses pengislaman selanjutnya orang-orang Indonesia ikut aktif mengambil
bahagian.
4. Bahawa mubaligh-mubaligh
Islam yang pertama-tama itu selain sebagai penyair Islam adalah juga sebagai
saudagar.
5. Bahawa
penyiaran Islam itu di Indonesia dilakukan secara damai.
6. Bahawa
kedatangan Islam ke Indonesia itu membawa kecerdasan dan peradaban yang tinggi
dalam membentuk keperibadian bangsa Indonesia. (Abdul Rahman Haji Abdullah
(1984). Sejarah Dan Pemikiran Islam. Selangor : Penerbitan Pena Sdn. Bhd.)
2.2
Faktor-Faktor Perkembangan Islam
Beberapa
cara pendekatan telah digunakan oleh penulis-penulis dalam pengkajian mereka
tentang sebab-musabab perkembangan Islam di Nusantara. Ada yang melihat dari
sudut politik, ekonomi, sosial dan sebagainya, di samping ada yang menekankan
faktor-faktor perdagangan, ahli sufi, perkahwinan dan lain-lainnya. Tanpa menolak
cara-cara pendekatan seperti itu, pendekatan yang akan dipakai di sini adalah
berasaskan Metodologi Dakwah Islamiah yang mengandungi empat aspek besar:
1. Isi
kandungan ajaran Islam.
2. Hikmah
atau cara penyampaian.
3.
Pendakwah.
4.
Masyarakat.
i)
Isi Kandungan Ajaran Islam
Faktor ini
merupakan sebab utama penyebaran Islam di Nusantara. Ajaran Islam yang mudah
difahami dan mudah pula diamalkan menjadikan ianya cepat merebak. Pokok ajaran
Islam terletak kepada konsep Tauhidnya yang murni, tidak berbelit-belit atau
bersimpang-siur seperti agama-agama lain. Dan dari segi sosialnya, Islam tidak
membezakan seseorang individu dengan individu lain. Ketika memperkatakan
sebab-sebab perkembangan Islam di Nusantara. Willem Wertheim mengatakan:
Islam gave
the small man a sense of individual worth as a member of the Islamic community,
according to Hindu ideology he was merely a creature of lower order than the
members of the fligher castes. Under Islam he could, as it were, feel himself
their equal, or, even, in his quality as a Moslem, the superior of such of them
as were not Moslems themselves, even though he still occupied a subordinate
position in the social structure. (Abdul Rahman :1984)
Islam juga
mudah diterima kerana terdapat semacam kesejajaran dalam setengah nilai-nilai
tempatan. Inilah yang disebut sebagai faktor autoktoni, iaitu keadaan di mana
sesuatu itu dianggap telah sedia ada, sejak purbakala, sebagai kepunyaan atau
sifat kebudayaan sesuatu masyarakat. Misalnya penerimaan Ilmu Tasawuf Islam
oleh orang-orang Melayu adalah sedikit banyaknya kerana latarbelakang
kebudayaannya telah menyediakan dirinya untuk menerima bentuk-bentuk ajaran
sedemikian. Memangnya faham tasawuf Islam jauh bercanggah dengan faham mistik
Melayu, tetapi ianya telah cuba dikurangi (meskipun tidak kesemuanya berjaya)
dengan usaha-usaha penyesuaian diri dengan faham tasawuf Islam.
ii)
Metode atau hikmah dalam penyampaian.
Yang
dimaksudkan dengan metode di sini ialah cara-cara yang dipakai dalam proses
menyeru ke arah memeluk serta menghayati Islam. Terkandung dalam pengertian ini
ialah usaha-usaha secara lisan atau tulisan, secara audio (alat pendengaran)
atau audio-visual (alat pandang dengar). Bagaimanapun kesemua cara-cara
tersebut harus berpusat kepada ketentuan-ketentuan Al-Quran sendiri yang
menuntut ianya dilakukan dengan penuh bijaksana, dengan pengajaran dan diskusi
yang baik (Al-Nahl: 125, Al-Ankabut: 46).
Terjemahan:
Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau
serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang
lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang
lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah al
Nahl:125).
Terjemahan:
Dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab melainkan Dengan cara Yang lebih
baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah
(kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada
Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami,
juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah
diri." (Surah al Ankabut:46).
Ketentuan
asasi inilah yang rupanya sangat diperhatikan oleh para-para mujahid dakwah
dulu, hingga telah terhasil membawa Islam dengan segala kebijaksanaan,
kemahiran dan ketrampilan.
Agar mudah
mendekati penduduk-penduduk Nusantara, pendakwah-pendakwah terpaksalah
berbicara dalam bahasa yang mudah difahami serta luas pula penggunaannya.
Sebelum kedatangan Islam, memang terdapat bahasa Jawa Kuno (Kawi) di Jawa dan
bahasa Melayu Kuno tulisan Palava di Srivijaya, Sumatera, tetapi penggunaannya
terhad di daerah-daerah tersebut sahaja. Dan yang menjadi masalah besar pula
ialah pada bahasa Jawa itu sendiri yang sudah dicemari oleh konsep-konsep
Hindu-Buddha yang jika digunakan juga sudah tentu dapat mengabur atau
mengelirukan konsep-konsep Islam.
Berasaskan
istilah-istilah yang sedia ada, oleh mubaligh-mubaligh tersebut 'diciptalah'
suatu bahasa lingua franca yang dinamakannya Bahasa Melayu dengan memasukkan
istilah-istilah Islam ke dalamnya. Dan yang pentingnya dalam 'penciptaan'
bahasa ini ialah penggunaan tulisan 'Jawi' yang berasaskan abjad Arab-Parsi.
Ertinya konsep bahasa dan sastera (tulisan) Melayu baru wujud sejak kedatangan
Islam ke Nusantara.
Di samping
masalah bahasa Jawa yang sudah tercemar itu, pemilihan bahasa Melayu sebagai
bahasa lingua franca juga dibuat atas dasar persamaan sifatnya dengan bahasa Arab
sendiri. Dari sudut linguistiks, bahasa Arab dan bahasa Melayu adalah sama-sama
bahasa 'oligosintesis' di mana "semua atau hampir semua perbendaharaan
kata boleh dibuat dari akar-akar kata yang sedikit jumlahnya". Ambil saja
akar kata Arab 'ilm' dan akar kata Melayu 'ajar' yang banyak sekali pecahannya.
Seperti ta'allama (belajar), 'allama (mengajarkan), ista'lama (mempelajari),
'aliim (berpelajaran), a'alam (berpengajaran), 'allaamah (terpelajar), mu'allim
(pengajar), muta'allim (pelajar), 'ilm (ajaran), ta'liim (pengajaran),
Jika dibuat
perbandingan, pecahan teach (ajar) dalam bahasa Inggeris tidak banyak
jumlahnya, cuma ada empat (4) derivasi: teacher, teaching, teachable dan
teachability. Ini bermakna bahasa Inggeris bukannya bahasa oligosintesis.
Dengan
terciptanya bahasa Melayu dengan tulisan Jawi (abjad Arab) tersebut. barulah
muncul apa yang dinamakan kesusasteraan Melayu. Sebelum abad ke-15, tidak
terdapat bukti-bukti adanya bahasa dan sastera Melayu. Bukti-bukti yang ada
hanya terdapat pada catatan batu-batu bersurat yang tertulis dalam abjad
Sanskrit. Walaupun Prof. M.A. Jaspan cuba mengesannya dari abjad Rejang
Ka-ga-nga di Sumatera Selatan. tetapi itu hanya percubaan untuk menulis sastera
Melayu sebelum Islam. Sastera 'Melayu' yang wujud sebelum abad ke-15 hanyalah
bercorak lisan. Dan kalaupun ada sastera tulisan. ianya tertulis dalam bahasa
Jawa. Tetapi dengan kedatangan Islam yang membawa tulisan Jawi, barulah ada
sastera tulisan, hingga sastera (lisan) yang berasal dari zaman Hindu dulu barulah
dituliskan di zaman Islam dengan tulisan Jawi.
Melalui
bahasa Melayu itu, timbullah ulama-ulama yang giat berdakwah melalui tulisan.
Maka terkenallah nama-na- ma seperti Hamzah Al-Fansuri, Nuruddin Al-Raniri,
Bukhari, Al-Jauhari, Shamsuddin Al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan lain-lain.
Melalui karya-karya merekalah agama Islam dapat tersiar dengan lebih meluas dan
pesat. Semuanya dengan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa Islam di rantau
ini. Khusus di Tanah Jawa, penyiaran Islam tidak dapat dilankan melalui bahasa
Melayu tersebut. Ini keranaJawa menyaksikan suatu tingkat kemajuan yang
tersendiri, hingga wujud semacam kebanggaan terhadap keagungannya. Dari sinilah
timbulnya konsep 'Nusantara' yang bererti 'pulau-pulau lain sebagaimana ditinjau
dari pulau Jawa atau Bali'. Dengan asas-asas kebanggaan seperti ini. tidak
mungkin bahasa Melayu mendapat tempat di hati orang-orang Jawa. Maka untuk
mendekati mereka, terpaksalah para-para mubaligh bertolak-ansur dengan
sebahagian cara hidup mereka. Dengan itu lahirlah apa yang dinamakan 'wayang
purwa' oleh mubaligh-mubaligh di Jawa yang lebih terkenal dengan gelaran 'Wali
Songo'. Antara wali-wali sembilan yang sangat berjaya dalam penyiaran Islam
secara pewayangan ini ialah Sunan Giri dan Sunan Bonang.
Penyesuaian
bentuk-bentuk wayang tradisi Jawa dengan wayang Islam berlaku baik dalam bentuk
mahupun isinya. Dari segi bentuknya, anggota badan pelaku-pelakunya tidak lagi
menyerupai bentuk manusia normal, sebaliknya jauh dari sifat-sifat manusia
biasa, dan masing-masing tokoh pula dijadikan gambar berasingan. Dan dari segi
isinya, sungguhpun ianya berasal dari kitab-kitab Hindu dan Jawa, namun ianya
disesuaikan dengan semangat Islam. Misalnya cerita-cerita Pandawa Lima
merupakan simbol Rukun Islam yang lima, atau Lima Waktu Solat.
Demikianlah,
melalui cara-cara seperti ini mudahlah Islam dapat tersiar hingga dengan itu
berjaya menggulingkan agama-agama Hindu-Buddha sebelumnya. Walau bagaimanapun,
memanglah tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam di Nusantara juga tersiar
melalui kegiatan penaklukan. Ini tidaklah bermakna yang Islam sengaja
disebarkan secara kekerasan. Sebenarnya penaklukan-penaklukan tersebut lebih
bermotif politi-k atau ekonomi, sedang Islam hanya tersebar secara tidak
langsung saja. Jadi penaklukan-penaklukan oleh kerajaan Melaka atau Acheh
bukannya untuk menyebarkan Islam, tetapi implikasinya Islam lalu tersebar ke
negeri-negeri taklukannya.
(iii)
Pendakwah
Islam adalah
agama dakwah yang menjadikan setiap orang pemeluknya sebagai anggota umat
dakwah. Tugas berdakwah bukannya hak sesuatu pihak, tetapi merupakan kewajipan
setiap Muslim sekadar kesanggupan atau pengetahuan yang dimilikinya
(Al-Hujurat: 15).
Terjemahan:
Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang
Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan)
tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).
(Surah al Hujurat:15).
Bagaimanapun
memang dituntut agar dibentuk sekumpulan orang yang khusus bertugas untuk
berdakwah (Ali Imran: 104, Al-Taubah: 122) tanpa mengenepikan peranan
pihak-pihak lain yang dapat bertugas secara 'sambilan', seumpama Imam Abu
Hanifah yang di samping berniaga adalah juga begitu giat mengajar ilmu.
Terjemahan:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik,
serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang
bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya. (Surah ali Imran:104).
Terjemahan:
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di
antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara
mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar
kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan
mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah al
Taubah:122).
Dalam
konteks penyebaran Islam di Nusantara, memang terdapat golongan-golongan
pendakwah 'profesional' dan 'sambilan'. Adanya golongan yang profesional inilah
yang menimbulkan teori mubaligh (missionary theory) sebagai salah satu faktor
perkembangan Islam. Di antara mereka yang profesional itu terdapatlah nama-nama
seperti Syeikh Ismail yang diutus khas oleh Sharif Makkah ke Samudera, Sayyid
Abdul Aziz, seorang makhdum dari Jeddah yang mengislamkan Parameswara, Syeikh
Abdullah Yamani, seorang ulama Makkah yang mengislamkan Raja Kedah dan
sebagainya.
Sejajar
dengan teori mubaligh tersebut ialah peranan ahli-ahli Sufi dalam penyebaran
Islam di Nusantara. Nampaknya di kalangan tokoh-tokoh Sufi itu, yang paling
terkenal sekali ialah 'Wali Songo' yang dikatakan sangat berjasa di Jawa itu.
Di samping terkenal sebagai tokoh tasawuf, wali-wali sembilan itu juga
merupakan tokoh-tokoh politik. Pernah dikatakan bahawa perlantikan Raden Patah
sebagai raja pertama kerajaan Demak adalah dibuat oleh mereka. Sebab itu dalam
konteks zaman Demak, istilah 'wali' ini lebih tepat diertikan sebagai
"orang yang diberi kuasa mengurus negara", oleh kerana selain dari
mengurus soal-soal keagamaan, mereka juga mengatur urusan-urusan pemerintahan.
Di samping golongan pendakwah 'sepenuh masa' tersebut, terdapatlah para-para
pedagang yang juga berperanan sebagai pendakwah. Adanya golongan ini yang turut
menyebar-luaskan Islam inilah yang melahirkan teori perdagangan (trade theory)
sebagai salah satu faktor perkembangan Islam.
Menurut Tom
Pires: Some of them (merchants were Chinese, some Arabs, Parsees, Gujaratees,
Bengalees and of many other nationalists, and they flourished so greatly that
Mohamed and his followers determined to introduce their doctrines in the
sea-coast of Java (together) with the merchandise.
Adanya
hubungan perdagangan yang erat antara Jawa dengan Melaka turut menolong dalam
penyebaran Islam di Jawa, sebab pedagang-pedagang Jawa yang berdagang di Melaka
itu setelah kembali lalu menyiarkan Islam di negerinya pula. Pentingnya
hubungan inilah yang menimbulkan semacam anggapan bahawa "tanah Jawa
diislamkan oleh Melaka".
Jika tadinya
setiap orang Islam sudah terbeban oleh tugas berdakwah, hingga dengan itu
merupakan umat dakwah, tetapi dengan berlakunya Perang Salib (1097-1292)
pedagang-pedagang Islam semakin ghairah malah berlumba-lumba untuk menyiarkan
Islam. Menurut teori Perang Salib (Crusader theory), konflik antara pedagang-pedagang
Islam dengan Portugis yang menimbulkan semangat perlumbaan agama itu adalah
lanjutan daripada Perang Salib tersebut.
iv)
Masyarakat
Pendakwah
yang baik ialah yang dapat memahami corak masyarakat yang dihadapinya.
Sesungguhnya kejayaan besar dakwah Islamiah di Nusantara adalah disebabkan
para-para pendakwah cukup mengerti hakikat ini. Mereka sedar bahawa konsep
masyarakat feudal Melayu adalah sangat menjunjung tinggi golongan aristokrat
sehingga apa saja yang diperintahnya akan segera dipatuhi tanpa banyak bicara.
Apa lagi jika yang diperintahkan oleh raja itu memangnya suatu kebaikan, maka
dengan rela hati mereka akan menurutinya. Demikianlah yang terjadi apabila
raja-raja mereka sudah memeluk Islam setelah didatangi oleh pendakwah-pendakwah
tersebut, maka rakyat pun berbondong-bondonglah mengikuti jejaknya. Inilah yang
dikatakan oleh Prof. M.A. Rauf:
The
conversion of royalty was the beginning of the conversion of the Malay world.
Selain dari
itu, faktor perkahwinan diraja juga sangat berkesan dalam menyebarluaskan
Islam. Dengan perkahwinan Parameswara dengan puteri raja Pasai, atau
perkahwinan puteri-puteri raja Melaka sendiri dengan raja-raja di tanah
jajahannya, semuanya ini turut membantu dalam penyiaran Islam hingga meliputi
daerah-daerah yang lebih jauh. Sebagai suatu ikhtiar agar para-para pedagang
terus menetap di dalam negerinya, mereka digalakkan berkahwin dengan puteri
pembesar-pembesar tempatan. Ini adalah motif ekonomi oleh kerana kemakmuran
sesebuah negeri itu banyak bergantung kepada faktor perdagangan luar, tetapi
implikasinya sangat penting dari segi perkembangan Islam. Demikian kita melihat
beberapa faktor yang saling bantu-membantu dalam penyebaran Islam di rantau
ini. Walau bagaimanapun suatu hakikat yang seharusnya tidak dilupakan ialah
betapa faktor HIDAYAH itulah yang menentukan segala-galanya. Walau apapun
sebab-sebab yang dikemukakan tentang perkembangan Islam di rantau ini atau di
mana-mana saja, namun Allah s.w.t. sajalah faktor pertama yang menjadikan
sesuatu itu adanya. (Abdul Rahman Haji Abdullah (1984). Sejarah Dan Pemikiran
Islam. Selangor : Penerbitan Pena Sdn. Bhd.)
2.3
Pengaruh Islam Di Alam Melayu
ZAMAN HINDU-BUDDHA DI ASIA TENGGARA
Menjelang
kedatangan Islam ke Asia Tenggara, masyarakat tempatan sedikit banyaknya telah
dicorakkan oleh pengaruh-pengaruh India. Dari segi amalannya, nampaknya cuma
golongan bangsawan sajalah yang menganuti agama Hindu dengan
bersungguh-sungguh. Itu pun dengan hanya mementingkan aspek-aspek upacara dan
ajaran-ajaran yang membesar-besarkan keagungan dewa-dewa demi kepentingan
mereka sendiri, dengan dakwaan bahawa merekalah penjelmaan dewa-dewa tersebut.
Ada pun terhadap masyarakat umumnya, mereka lebih asyik kepada sifat kesenian
daripada sifat falsafah, sejajar dengan bawaan asli mereka sendiri. Dan jika
ada apa yang dinamakan kesusasteraan, tumpuannya cuma sekitar gelanggang kraton
dan istana, dengan gambaran penjelmaan dewa-dewa pada raja dan kebijaksanaan
pendita-pendita. Peranan karya-karya tersebut tidaklah untuk menerangi akal dan
budi, melainkan untuk menawan rasa dan jiwa rakyat agar terus terpesona oleh
kehebatannya.
Tentang
agama Buddha, sungguhpun pengaruhnya sudah wujud sejak abad ke-6, namun
kesannya tidak seberapa, kecuali di bidang kesenian juga seperti terjelma pada
candi Borobodur itu. Kalaupun pernah dikatakan adanya 1,000 orang rahib Buddha
di Sumatera, namun mereka kelihatannya tiada berminat untuk menyebarkan
ajaran-ajarannya di situ. Lagipun kebanyakan mereka adalah orang-orang luar
belaka yang datang ke situ untuk belajar, dan kemudiannya menyebarkannya di
negeri sendiri, seumpama Atisha yang nantinya termasyhur sebagai tokoh Buddha
di Tibet.
Keterbatasan
pengaruhnya bukan sahaja kerana faktor 'dalam diri' agama-agama tersebut,
bahkan juga dibataskan oleh faktor bahasa. Seperti yang dijelaskan sebelumnya,
sebelum kedatangan Islam, bahasa yang dipakai di Jawa ialah bahasa Jawa Kuno
(Kawi), dan di Sumatera ialah bahasa Melayu Kuno tulisan Palava (Hindu Kuno).
Tidak ada apa yang dinamakan bahasa lingua franca yang dapat mendekatkan
agama-agama tersebut dengan rakyat jelata umumnya. Demikianlah suasananya
menjelang kedatangan Islam ke Nusantara. Kelihatannya proses Indianisasi yang
berabad-abad lamanya itu semacam tidak membawa apa-apa perubahan yang bererti,
khasnya di bidang pemikiran falsafah. Apa yang ada ialah sekadar mengekal dan
mengukuhkan lagi bawaan asli rakyat tempatan yang mementingkan kesenian, metos
dan pelbagai bentuk kehidupan di alam fantasi. Pandangan dan cara hidup mereka
yang lama semacam tidak tersentuh langsung dengan kedatangan pengaruh India
tersebut, hinggalah berlakunya proses Islamisasi yang nantinya akan merubah
secara radikal bawaan lama tersebut.
MUNCULNYA ZAMAN BAKU DI ASIA TENGGARA
Sebab-sebab
timbulnya Zaman Pertengahan di Eropah harus dirujuk pada sejarah kebangkitan
Islam di Asia Barat. Seperti yang ditegaskan oleh Henri Pirenne, Islam bukan
saja memusnahkan perpaduan kebudayaan (Barat) di sekitar Laut Meditteranean,
bahkan juga memindahkan paksi kehidupan mereka jauh ke utara. Dengan berlakunya
dua perubahan penting inilah baru bermulanya Zaman Pertengahan di Eropah. Kita
juga telah menegaskan bahawa kehancuran Zaman Pertengahan dan timbulnya Zaman
Renaissance sebagai asas Zaman Moden di Eropah itu adalah juga akibat
perhubungan mereka dengan tamadun Islam baik di Timur (Baghdad) mahupun di
Barat (Sepanyol).
Pandangan
yang sama harus juga dikenakan terhadap peranan Islam dalam membentuk peradaban
baru di Nusantara, sebagaimana kesannya terhadap kemunduran dan kebangkitan
Eropah. Besar tidaknya pengaruh Islam di Asia Tenggara harus dinilai
berdasarkan perubahan-perubahan yang timbul sesudah berlakunya proses
Islamisasi. Perubahan-perubahan tersebut dapat dikaji dari dua segi: dalaman
dan luaran.
Dari segi
dalamannya, kedatangan Islam telah merubah pandangan hidup (world-view) atau
Weltanschauung orang-orang Melayu. Jika dulunya mereka lebih asyik di
bidang-bidang kesenian, metos dan khayal, maka kini timbullah pandangan yang
mementingkan unsur-unsur rasionalisme dan intelektualisme. Seperti kata Prof.
Syed Naguib Al-Attas, para penyebar Agama Islam mendakyahkan kepercayaan
ketuhanan yang Tunggal, yang kudrat-Nya terhukum pada hikmat-Nya; yang
iradat-Nya berjalan selaras dengan Akal. Insan dicitakan sebagai hasil
tertinggi ciptaan raya, bahawa pada gelang kehidupan semesta insanlah yang
umpama khatim permata jauharnya. Sifat asasi insan itu ialah akalnya, dan unsur
akiiah inilah yang menjadi perhubungan antara dia dan hakikat semesta. Jika
dulunya mereka asyik menggemari bermenungan, berpoya-poya, dongengan khayal,
kini mereka giat menganjurkan penulisan dan penafsiran ilmu-ilmu sejarah dan
tasawuf serta falsafah Islam, justeru kerana tugas penghargaan dan penilaian
sastera kini tiada lagi terletak dalam genggaman mereka, akan tetapi
dipengaruhi oleh penulis-penulis intelektual dan penterjemah-penterjemah handal
yang menghasilkan karya-karya ini bukan lagi suatu golongan kecil tertentu,
malah sesungguhnya bagi keperluan meninggikan adab dan susila serta kesedaran
ramai terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan menerusi Islam. Demikian
menurut pandangan Prof. Syed Naguib Al-Attas.
Selain dari
isi kandungan faham agama yang bersifat intelektual itu, bersamanya datang juga
istilah-istilah Arab ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu yang sekian lama cuma
asyik mendendangkan irama metos. Tidaklah perlu dijelaskan lagi betapa
mendalamnya pengaruh perkataan-perkataan seperti akal, fikir, dakwat, qalam,
hikmat, kertas dan sebagainya terhadap kebangkitan semangat nasionalisme dan
intelektualisme manusia Melayu. Kebanjiran istilah-istilah Arab yang menggugah
daya fikir seperti inilah yang turut merubah world-view orang-orang Melayu yang
sekian lama terpeluk di bawah ribaan seni yang anti akliah.
Semuanya itu
merupakan kesan dalaman belaka. Ada pun dari segi luarannya, pertama sekali
Islam telah membawa bersamanya bahasa lingua franca di Kepulauan Melayu, iaitu
bahasa Melayu sendiri. Jika dulunya tidak ada apa yang dapat dinamakan sebagai
bahasa internasional, maka kini dengan berasaskan tulisan huruf Arab (Jawi),
terciptalah bahasa yang mampu menjadi alat perhubungan bagi bangsa-bangsa di
daerah ini. Dan seiiring dengan kemunculan bahasa Melayu tersebut maka
bermulalah perkembangan sastera tulisan, sedangkan sebelumnya cuma terdapat
sastera lisan sahaja. Kalaupun ada sastera tulisan sebelumnya, itu bukannya
sastera Melayu, tetapi sastera Jawa. Dan sastera Jawa bukannya sastera Melayu,
oleh kerana ia tegak dengan keperibadiannya sendiri.
Kedatangan
Islam bukan hanya bermakna kedatangan suatu agama dan suatu bahasa, bahkan dari
segi sosialnya, terbentuk pula suatu konsep bangsa yang dinamakan bangsa
Melayu. Jika dulunya cuma terdapat suku-suku kaum yang tegak dengan identitinya
sendiri, maka dengan kedatangan Islam, barulah muncul konsep bangsa Melayu
dengan Islam sebagai teras keperibadiannya. Ertinya konsep kebangsaan Melayu
hanya wujud sejak kedatangan Islam ke Nusantara. Sebab itu kata Dr. Deliar
Noer, konsep bangsa Melayu akan terus kekal selagi Islam tidak dipisahkan,
tetapi bila mana Islam dipisahkan daripadanya, akan hilanglah bangsa Melayu itu
sendiri!
Tidak
setakat itu sahaja, Islam dengan faham kesamarataannya yang tersendiri telah
merubah secara radikal sistem kelas yang selama ini menjadi anutan masyarakat
Nusantara. Seperti kata W. Wertheim, Islam telah memperkenalkan konsep sama
rata atau unsur demokrasi sebagai ganti sistem kasta Hindu yang membahagikan
penduduk Nusantara kepada beberapa susun lapis seperti di India. Menurutnya
Islam juga telah menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan di
kalangan penduduk Alam Melayu melalui konsep Ummah atau masyarakat Islam, dan
ini dicapai melalui perlakuan ibadat. seperti haji misalnya. Wertheim nampaknya
telah menyamakan peranan Islam di Alam Melayu dengan zaman permulaan Islam di
Tanah Arab, kerana Islam telah menghapuskan semangat kesukuan orang-orang Arab
dan mewujudkan masyarakat universal.
Selain dari
segi sosialnya, Islam juga telah membawa perubahan yang besar terhadap sistem
politik Nusantara. Yang nyata sekali ialah tertubuhnya kerajaan-kerajaan
Melayu-Islam seperti di Pasai, Acheh, Demak dan sebagainya. Memang benar bahawa
sebelum terdirinya kerajaan-kerajaan ini, berlaku proses Islamisasi selama
berabad-abad, yakni kedatangan Islam tidaklah terus secara langsung mendirikan
suatu kerajaan. Sejak adanya bukti awal kedatangan Islam hingga berdirinya
suatu kerajaan Islam dengan raja yang Islam pula, ianya melintasi jangka masa
yang panjang, bahkan amat panjang. Ini kerana di Nusantara sudahpun berdiri
kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha yang hidup semenjak beratus-ratus tahun
sebelumnya. Sebab itu dalam berjuang di tengah-tengah sesuatu kekuasaan,
tentulah memerlukan kesabaran dan mengharungi proses yang panjang sekali. Ini
pun dapat menjadi bukti pula bahawa penyebaran Islam di Nusantara berlaku secara
lemah-lembut dan penuh hikmah.
Islam tidak
sahaja membawa kerajaan, bahkan berjaya pula meninggalkan kesan-kesan di dalam
sistem perundangan Melayu, sungguhpun pada setengah-setengah tempat kita masih
dapat mempersoalkannya. Dalam Hukum Kanun sendiri tercatat firman Allah yag
menuntut agar orang-orang Mukmin mentaati Allah dan Rasul-Nya, serta
pemimpin-pemimpin di antara kaum (Al-Nisa: 59).
Terjemahan:
Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu
kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa)
dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam
sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah
(Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan
hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula
kesudahannya. (Surah al Nisa’:59).
Sedang dalam
Sulalatus-Salatin (Sejarah Melayu) diceritakan bahawa di saat-saat akhir Sultan
Mansur Shah, diingatkannya puteranya sepotong hadis bahawa "setiap orang
adalah pemimpin, dan mereka bertanggungjawab di atas pimpinannya". Nukilan
dari Nas-Nas ini menuntut agar rakyat taat setia kepada pemerintahannya, sedang
pemerintah pula mestilah bertanggungjawab di atas rakyat pimpinannya.
Sungguhpun
dari segi praktiknya tindakan raja-raja lebih banyak berdasarkan budi bicaranya
sendiri, dan rakyat pula kurang menghormati ketentuan-ketentuan Islam tersebut,
namun kesanggupannya untuk mencatat atau memaktubkan ketentuan-ketentuan
seperti itu sudah menunjukkan wujudnya pengaruh Islam terhadap sistem
perundangan Melayu. Beberapa aspek daripada hukum-hukum Islam tersebut sudah
kita bicarakan sebelumnya.
Dari segi
ekonominya pula, kedatangan Islam ternyata sekali membawa revolusi besar. Jika
sebelumnya Henri Pirenne mengatakan bahawa dengan kedatangan Islam
mengakibatkan perpaduan Laut Tengah itu hancur lebur di Eropah, hingga
menjadikan punca atau paksi kehidupan kebudayaan Eropah lalu beralih ke Utara,
demikian jugalah kita lihat dengan kedatangan Islam ke Nusantara ini perpaduan
Lautan India yang mempengaruhi kehidupan daerah ini, baik di bidang kebudayaan
mahupun perdagangan, telah juga hancur lebur. Sebelum kedatangan Islam
perdagangan daerah ini terbatas dalam sekitar Lautan India; punca kehidupannya
berkisar dalam gelanggang kebudayaan India, datiada terlintas baginya saujana
alam internasional dewasa itu.
Jelasnya
dengan kedatangan Islamlah maka kegiatan-kegiatan perdagangan meluas sehingga
tidak lagi terbatas di Lautan India, bahkan sampai menjangkau Laut Merah, ke
Laut Parsi, ke Laut Meditteranean, dan seterusnya ke pelabuhan-pelabuhan
Eropah. Dengan ini kita lihat bahawa dengan kedatangan Islam, punca atau paksi
kehidupan dan kebudayaan masyarakat Kepulauan Melayu telah beralih dari India
ke Timur Tengah, sama seperti pemindahan paksi kehidupan orang-orang Eropah
dari Laut Meditteranean ke Utara.
Semua
perubahan-perubahan yang berlaku ini menyebabkan timbulnya suatu Zaman Baru;
suatu zaman yang tidak sahaja baru dari segi pandangan hidupnya, bahkan
sekaligus pada cara hidupnya juga. Ertinya kedatangan Islam telah membawa
revolusi besar bukan sahaja dari segi luarannya bahkan segi dalamannya sekali.
Bagaimanapun
dengan kedatangan imperialisme Barat, proses pengislaman yang sekian lama
berjalan lancar itu menjadi terbantut. Mereka bukan sahaja cuba menghidupkan
tradisi feudal, bahkan telah mengabaikan kepentingan dan peranan Islam di
Kepulauan Melayu. Maka hasilnya dapat kita saksikan kini dengan hidupnya
kembali nilai-nilai feudal dan istana, serta adat istiadat lama dan sebagainya.
Tetapi dari
segi lain pula, kedatangan Barat dapat juga dianggap sebagai meneruskan proses
Islamisasi juga. Jika orang-orang Barat didakwa sebagai bertanggungjawab
memperkenalkan semangat rasionalisme, individualisme dan internasionalisme,
maka itu tidak lain daripada cita-cita Islam juga. Jika kita mempelajari
punca-punca semangat ini dalam sejarah kebangkitan Barat, semuanya itu adalah
berasaskan tamadun Islam sendiri. Dan ini berkait rapat dengan penentangan
mereka terhadap sistem feudal dan penguasaan Gereja di Zaman Pertengahan.
Ertinya dalam sejarah Barat, agama (Kristian) menghalang cita-cita
intelektualisme, sedang dalam sejarah Islam, agamalah yang mendorong malah
mewajibkannya. Sebab itu jika dinilai peranan Barat dalam menggalakkan
cita-cita intelektualisme di Nusantara, maka itu tidak lain merupakan penerusan
kepada proses Islamisasi belaka. (Abdul Rahman Haji Abdullah (1984). Sejarah
Dan Pemikiran Islam. Selangor : Penerbitan Pena Sdn. Bhd.)
Sumbangan Islam Kepada
Tamadun Melayu
Sebelum
kedatangan Islam penduduk di Nusantara pada umumnya menganut agama Hindu.
Walaupun begitu, masyarakat Melayu pada ketika itu sudah mempunyai kebudayaan
mereka yang tersendiri, kemudian mereka dipengiruhi oleh kebudayaan Hindu dalam
beberapa hal. Selepas abad kedua belas pengaruh Islam pun mulai berkembang
dengan pesatnya. Dengan kedatangan Islam, maka beberapa sumbangan dan
pembaharuan telah dibawa oleh Islam demi untuk memperkayakan lagi kebudayaan
Melayu.
Ahli-ahli
kebudayaan berpendapat bahawa agama Islam tidak memberi perubahan dalam
struktur ekonomi orang Melayu. Misalnya sebelum kedatangan Islam orang Melayu
menjalankan perdagangan dan pertanian, demikianlah halnya juga sesudah
kedatangan Islam. Tegasnya, Islam tidak membawa bentuk yang baru daripada
sistem perekonomian Islam. Walau bagaimanapun Islam telah member! sumbangan
dalam susunan perekononian orang Melayu. misalnya sistem pengeluaran zakat dan
fitrah merupakan sebagai satu cara mengambil harta orang yang berada untuk
diberi kepada orang yang susah. Demikian juga sistem sedekah, kafarah, wakaf
dan sistem Baitulmal yang merupakan satu fenomena baru dalam masyarakat Melayu
dalam zaman Islam. Hal ini merupakan juga sebagai aspek perekonomian yang penting
yang telah disumbangkan oleh Islam.
Perkembangan
Islam ke daerah Nusantara dibawa oleh mubaligh Islam, dan ajaran yang dibawa
oleh mereka adalah berbentuk metafizik dan bercorak intelektralisme. Dengan
yang demikian, flkiran orang-orang Melayu telah terbuka, dan lahirlah
rasionalisme dan intelektualisme dalam masyarakat Melayu yang tiada terdapat
sebelum kedatangan Islam. Dengan kelahiran unsur rasionalisme, ia merupakan
sebagai satu cabaran kepada unsur mitologi dan dongeng-dongeng yang
menitikberatkan alam khayalan dan fantasi yang membicarakan tentang dewa-dewa
dan pari-pari. Mubaligh-mubaligh Islam membawa kepercayaan monoteisme dengan
penekanan kepada flkiran yang rasional untuk mempertahankan
keterangan-keterangan mengenai wujudnya Tuhan.
Kedatangan
Islam membawa dorongan utama ke arah penghayatan ilmu pengetahuan dan daya
berfikir bukan sahaja kepada golongan istana, tetapi juga kepada orang awam.
Hasil penulisan pada zaman Islam bukan semua dihasilkan untuk kepentingan
raja-raja dan golongan bangsawan, malah kitab- kitab itu dituliskan untuk
bacaan orang Islam umumnya. Jelaslah daripada perkembangan baru hasil penulisan
dan karya-karya kesusasteraan lebih bercorak demokrasi dari masa yang
sudah-sudah. Islam telah membawa bentuk baru dalam bidang kesusasteraan.
Hasu-hasil kesusasteraan Islam dalam bentuk kisah nabi-nabi dan
pahlawan-pahlawan Islam mengambil alih epik-epik dan hikayat-hikayat Hindu yang
penuh dengan khayalan dan fantasi. Kitab-kitab agama dan falsafah Islam telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mulai berkembang dengan
pesatnya. Istilah-istilah daripada bahasa Arab dipinjam dan ditambahkan lagi
untuk memperkayakan lagi perbendaharaan kata-kata Melayu.
Agama Islam
dengan semangat jihadnya memberi inspirasi untuk menyintai tanahair di dalam
diri penduduk di daerah Alam Melayu. Semangat Islam memainkan peranan utama
menyatupadukan tenaga politik penduduk setempat untuk menentang kolonialisme
dari Barat. Semangat persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam dapat menyatupadukan
berbagai-bagai suku dan puak, misalnya terdapat berbagai-bagai suku kaum di
Indonesia, namun dengan semangat Islam mereka dapat bersatu di bawah
pertubuhan-pertubuhan kebangsaan telah berjuang menuntut kemerdekaan
berdasarkan agama Islam. Tidak syak lagi bahawa agama Islam dengan semangat
keislamannya yang ber- kobar-kobar telah menyatukan penduduk di Nusantara bagi
berjuang mem- bebaskan diri mereka daripada kuasa penjajahan Barat.
Antara
ciri-ciri kebudayaan Islam yang menjadi amalan penduduk di Nusantara, ialah
gambaran masyarakat Islam yang hidup secara persaudaraan di dalam sebuah
kampung. Masjid merupakan tempat tumpuan pada hari-hari Jumaat, atau pada waktu
malam hari kerana mendengar pengajaran-pengajaran agama. Masjid merupakan balai
permesyuaratan di kalangan penduduk di sesebuah kampung, di situ mereka
berunding bersama-sama dalam hal-hal kehidupan mereka. Agama Islam memainkan
peranan yang penting dalam kesejahteraan rakyat di Alam Melayu. Apabila agama
mendapat tempat yang begitu baik, maka terdapat keamanan dan kesejahteraan di
kalangan penduduknya. Maka lahirlah perasaan bersatu padu dan kasih sayang
antara mereka seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Islam
sebagai agama yang menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan, maka dengan
kedatangan Islam pusat-pusat pendidikan Islam mulai didirikan di merata-rata
tempat di daerah Alam Melayu. Di samping masjid dan surau, sekolah agama
didirikan untuk mengajar ilmu pengetahuan agama Islam mulai daripada pelajaran
membaca Quran hinggalah kepada pelajaran ilmu fekah, tauhid, tasawuf, bahasa
Arab, nahu dan lain-lain lagi.
Undang-undang
Islam daripada Mazhab Shafie memainkan peranan penting dalam menentukan hal-hal
yang mengenai kehidupan penduduk di Alam Melayu seperti perkara yang berkaitan
dengan warisan, harta, undang-undang mu'amalah perkara yang berkaitan dengan
perkahwinan, dan hukuman yang tertentu terhadap orang-orang yang membuat
kesalahan. Pengaruh undang-undang Islam juga terdapat dalam undang-undang
setempat seperti Undang-undang Luaran di Filipina dan Hukum Kanun Melaka di
Semenanjung Tanah Melayu. Di samping itu, terdapat undang-undang adat yang
diamalkan di beberapa daerah tertentu yang bercampur dengan pengaruh
undang-undang Islam.
Pengaruh Islam Di Alam
Melayu - Kebudayaan
Agama Islam
mempengaruhi semua aspek kehidupan orang Melayu. Misalnya dalam bidang politik,
sistem pemerintahan Melayu yang terawal di Semenanjung ialah sistem Kesultanan
Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh negeri-negeri yang lain seperti Terengganu
dan Pahang. Salah satu peninggalan bertulis dari zaman Melaka ialah
Undang-undang Melaka.Undang-undang Melaka ini menggambarkan kepada kita corak,
atau cara pemerintahan yang telah dijalankan di negeri itu. Undang-undang itu
juga mungkin merupakan sebahagian perlembagaan negeri yang berkenaan.
Jika dikaji
Hukum Kanun Melaka yang wujud sejak abad ke-14 itu ternyata sekali bahawa Islam
telah memainkan peranan yang penting. Mukadimah undang-undang tersebut
dimulakan dengan doxologi keislaman, kemudian didefinisikan jawatan Sultan
Mahmud dan Raja-raja Melaka sebagai Khalifah al-Mu'minin. Satu fasal
undang-undang itu ada menyebut: "berhubung dengan menteri-menteri,
pegawai-pegawai istana dan pasukan tentera, mereka hendaklah bertindak
berdasarkan firman Allah dalam al-Quran dan menjalankan suruhannya untuk
membuatkan kebaikan dan menegahkan kejahatan."
Apa-apa yang
diperkatakan oleh Hukum Kanun Melaka itu memang bertepatan sekali dengan
laporan Sejarah Melayu tentang wasiat Sultan Mansur Syah kepada puteranya
Sultan Alauddin supaya menjalankan pentadbiran negeri menurut perintah Allah.
Sultan Alauddin pernah meniru jejak langkah Khalifah Umar ibn al-Khattab yang
menyamar diri pada waktu malam hari untuk menyiasat tentang kesusahan rakyat.
Sultan Alauddin berbuat demi- kian kerana ingin menghapuskan perompak-perompak
yang bermaharajalela di Melaka pada waktu malam hari. Menurut Sejarah Melayu,
tindakan Sultan Alauddin itu telah menjadikan bandar Melaka menjadi aman
kembali.
Hukum Kanun
Melaka yang menjadi sistem undang-undang bagi mentadbir negeri Melaka
memperlihatkan beberapa fasal yang disandarkan kepada sistem undang-undang
Islam. Salah satu fasalnya ada menyebutkan tentang keperluan ketua negara untuk
berunding dan bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata.
Hal ini sama seperti sistem pemerintahan Islam pada zaman Khulafa' al-Rasyidin,
yang berdasarkan konsep 'Syura' seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam
al-Quran. Beberapa fasal dalam Hukum Kanun Melaka yang berhubung dengan
kesalahan membunuh, berzina, membuat fitnah, meminum minuman keras, bersumpah,
kesaksian, hukum murtad, wakaf, wang bunga dan lain-lain memperlihatkan bahawa
Hukum Kanun Melaka itu kuat dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam. Sejarah Melayu
juga menyebut tentang masalah-masalah agama yang menjadi perhatian. Raja-raja
Melaka hingga terpaksa dihantar beberapa utusan ke Pasai. Walau bagaimanapun,
tidak dapat dinafikan tentang sifat kezaliman beberapa orang Sultan Melaka.
Keadaan ini mungkin berlaku kerana kekuasaan politik tertumpu kepada ketua
kerajaan sahaja, seperti yang berlaku dalam pemerintahan Islam daripada
keluarga Umaiyah dan Abbasiyah yang menyalahgunakan kuasa mereka.
Undang-undang
Pahang yang mungkin merupakan perlembagaan negeri itu sejak tahun 1592 Masihi
telah memproklamirkan Pahang sebagai 'Dar al-Islam' dengan Sultan Abdul Ghafur
Muhaiyuddin Syah (1592-1614 T.M.) sebagai Khalifah. Undang-undang Pahang itu
telah digubal hampir sepenuhnya berdasarkan hukum Islam. Daripada 68 fasal
dalam Undang-undang Pahang, 42 fasal merupakan terjemahan sepenuhnya daripada
undang-undang Islam daripada Mazhab Syafie. Islam juga memainkan peranannya
dalam sistem pemerintahan Melayu di Terengganu. Pada catatan di batu bertulis
terdapat bukti bahawa hukum Islam mengenai kesalahan zina telah dilaksanakan di
negeri itu sejak tahun 1303 Masihi lagi.
Dalam sistem
pemerintahan Kerajaan Aceh banyak bukti yang dapat diberikan tentang kedudukan
Islam dalam pentadbiran negeri itu. Snouck Hungronje dalam bukunya The Achinese
walaupun mendakwa undang-undang adat berleluasa di negeri itu, juga mengakui
bahawa undang-undang Islam amat kuat dijalankan di Aceh berbanding dengan
tempat-tempat lain di Alam Melayu. Jawatan pentadbir undang-undang tertinggi di
bawah Kesultanan Aceh ialah Kadi-Malik al-Adil. Jawatan yang rendah sekali
ialah Imam yang bertanggungjawab bagi pentadbiran di tiap-tiap mukun, termasuk
urusan sembahyang Jumaat. Oleh kerana pengaruh Islam begitu kuat di Aceh,
sistem perlantikan ketua kerajaan daripada kalangan kaum wanita telah di-
berhentikan selepas Sultanah Kamalat Syah (1688-1699 Masihi) kerana didasarkan
kepada satu fatwa dari Mekah yang melarang perlantikan wanita sebagai ketua
Kerajaan Islam.
Dalam bidang
sosial, Islam telah membawa satu perubahan yang radikal seperti yang
diperkatakan oleh Wertheim dalam bukunya Indonesian Society in Transition.
Menurut beliau, Islam telah memperkenalkan konsep sama rata, atau unsur
demokrasi sebagai ganti sistem kasta Hindu yang membahagikan penduduk Alam
Melayu kepada beberapa susun lapis seperti di India. Menurut Wertheim, Islam
telah menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan di kalangan
penduduk Alam Melayu melalui konsep umah, atau masyarakat Islam. Proses
perpaduan ini menurut beliau dicapai melalui perlakuan ibadat, termasuk
mengerjakan haji. Beliau menyamakan peranan Islam di Alam Melayu dengan zaman
permulaan Islam di negeri Arab, kerana Islam telah menghapuskan semangat
kesukuan orang-orang Arab dalam zaman pralslam, dan menggantikan fahaman yang
bercorak universal tanpa semangat perkauman, atau kebangsaan yang sempit.
Apabila
orang Melayu mula memeluk agama Islam, mereka mempelajari ayat-ayat Quran untuk
tujuan menunaikan fardu sembahyang. Dari tahap ini, orang Melayu mula
digalakkan belajar membaca serta diikuti pula dengan proses pembelajaran yang
bercorak ilmu-ilmu agama. Penulisan bahasa Melayu yang menggunakan huruf Quran
mulai berlaku dengan tujuan mengarang buku-buku mengenai agama Islam.
Daripada
dorongan pembelajaran itu, lahirlah institusi-institusi agama Islam yang
berpusat di madrasah, surau dan masjid, diikuti oleh peringkat yang lebih
tinggi, iaitu pondok, langgar, rangkang dan pesantren. Pesantren merupakan satu
institusi pengajian tinggi agama Islam yang bercorak tradisi di Pulau Jawa.
Kini beberapa buah pesantren di Pulau Jawa telah disamakan kedudukannya dengan
universiti Islam, walaupun nama dan beberapa identiti tradisinya masih
dikekalkan. Pengajian agama Islam serta penulisan yang bercorak keislaman telah
menggalakkan perkembangan bahasa Melayu bukan sahaja di Alam Melayu, tetapi di
beberapa daerah di Tenggara Asia, termasuk rantau Indo-China.
Pengaruh
Islam meliputi semua aspek kebudayaan Melayu. Apa-apa yang telah diperkatakan
di atas merupakan sebahagian daripada contoh bidang kebudayaan yang telah
diterokai oleh agama Islam dalam zaman permulaannya. Benarlah pendapat Wertheim
bahawa agama Islam dalam beberapa hal turut mencetuskan revolusi dan memodenkan
masyarakat Melayu tradisi.
Pengaruh Islam Di Alam
Melayu - Kesusasteraan
Dalam zaman
permulaan Islam penyebar-penyebar Islam telah menulis risalah-risalah agama
yang menerangkan tentang rukun-rukun hnan dan rukun-rukun Islam. Di samping
tulisan mengenai ajaran Islam, penyebar-penyebar agama Islam itu tentu turut
mengisahkan tentang pembawa ajaran yang tersebut, iaitu Nabi Muhammad.
Cerita-cerita tentang Nabi Muhammad dapat di- anggapkan sebagai yang paling tua
usianya, jika dibandingkan dengan karya kesusasteraan pengaruh Islam yang lain.
Lagipun cerita-cerita seperti ini tiba bersama-sama kedatangan Islam ke daerah
ini. Cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad ini memperkatakan tentang
ketokohannya, sifat-sifatnya yang ideal, peristiwa-peristiwa yang luar biasa
mengenai dirinya sebagai pesuruh Allah dan lain-lain. Cerita-cerita ini
disadurkan oleh penulis-penulis Islam setempat daripada kesusasteraan Arab dan
Parsi seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Makjizat Nabi, Hikayat Nabi
Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Mikaj, dan Hikayat Rasulullah.
Ajaran-ajaran Islam juga disampaikan melalui cerita-cerita mengenai Nabi seperti
Hikayat Nabi Muhammad Dengan Iblis. Hikayat Puteri Salamah yang mengandungi
nasihat Nabi tentang tugas seorang isteri dalam Islam. Hikayat Seribu Masalah
mengandungi dialog antara Nabi dengan pemimpin Yahudi. Hikayat-hikayat lain
daripada jenis yang sama seperti Hikayat Nabi Mengajar Ali, Hikayat Nabi
Mengajar Anaknya Fatimah, Hikayat Nabi Dengan Orang Miskin, dan lain-lain.
Dalam
al-Quran ada tersebut tentang cerita-cerita yang ringkas mengenai nabi-nabi.
Cerita tentang nabi-nabi ini telah disadurkan oleh penulis-penulis Islam
daripada bahasa Arab atau Parsi, ke dalam kesusasteraan Melayu. Misalnya
Hikayat Nabi-nabi, Hikayat Nabi Sulaiman, Hikayat Nabi Musa, Hikayat Nabi
Yusuf, Hikayat Raja Jumjumah, Hikayat Zakaria, Hikayat Lumkan al- Hakim,
Hikayat Nabi Allah Ayub, Hikayat Nabi Musa Munajat dan lain-lain.
Cerita-cerita
mengenai para sahabat Nabi dan tokoh-tokoh Islam juga digubahkan menjadi cerita
seperti Hikayat Abu Bakar, Hikayat Amir al-Mu'minin Umar, Hikayat Abu Syahmah,
Hikayat Abu Bakar dan Rahib Yahudi, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Hassan dan
Hussain, Hikayat Tamin al-Dari dan lain-lain.
Penulis-penulis
Islam dipercayai juga menghasilkan cerita-cerita mengenai pahlawan-pahlawan
Islam dalam Kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Amir Hamzah. Hikayat Muhammad
Ali Hanafiah, Hikayat Sa'ifZul Yazan, Hikayat Semaun dan seterusnya. Menurut
Winstedt bahawa Cerita-cerita Berbingkai adalah bersumberkan dari Tanah Arab,
atau Parsi. Untuk menyalin, atau menyadurkan karya-karya yang tersebut
memerlukan orang-orang yang menguasai bahasa Arab dan Parsi. Orang Melayu yang
menguasaibahasa-bahasa tersebut pada umumnya terdiri daripada mereka yang
mendapat didikan melalui institusi-institusi pengajian Islam. Bahasa-bahasa
tersebut merupakan sebagai bahasa asas dalam bidang pengajian Islam pada masa
yang lampau. Dengan yang demikian, penyalin-penyalinnya adalah daripada
penulis-penulis Islam. Cerita-cerita Berbingkai yang dimaksudkan itu ialah
Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Kalilah Dan Daminah, Hikayat Bakhtiar, dan lain-lain.
Dalam
sejarah perkembangan Islam terdapat ahli-ahli sufi yang terkenal dalam dunia
Islam dan aliran fahaman mereka telah menjadi ikutan. Cerita-cerita tentang
ahli-ahli sufi itu dituturkan sehingga menjadi suatu legenda. Cerita-cerita itu
kemudian dituliskan orang. Penulis-penulis Islam di Alam Melayu turut menyadur,
atau mengubahkan cerita-cerita mengenai tokoh-tokoh yang tersebut untuk menjadi
contoh dan teladan kepada pembacanya. Cerita-cerita tersebut adalah seperti
Hikayat Sultan Ibrahim, Hikayat Abu Yazid Bistami, Hikayat Syeikh Abdul Kadir
Jailani, Hikayat Rabe'ah, Hikayat Darmatasih, dan lain-lain.
Cerita-cerita
rekaan telah digubahkan untuk tujuan memberi hiburan di samping memasuki
beberapa unsur didaktik. Cerita-cerita seperti ini ialah mengenai Raja-raja
Islam dan putera-putera raja. Persoalan-persoalan dalam cerita ini selalunya
menyentuh tentang pengembaraan, percintaan, perjuangan mereka untuk menegakkan
keadilan dan lain-lain. Hikayat-hikayat seperti ini dalam Kesusasteraan Melayu
telah digubah oleh penulis setempat, atau di sadurkan daripada tulisan-tulisan
dalam bahasa Arab, Parsi dan Hindustan. Antara saduran-saduran itu ialah
Hikayat Raja Damsyik, Hikayat Muhammad Mukabil, Hikayat Jauhar Manikam, Hikayat
Hassan Damsyik, Hikayat Sultan Bustaman, Hikayat Gul Bakawali, dan lain-lain.
Cerita-cerita jenaka turut di- ciptakan seperti cerita-cerita mengenai Abu
Nawas, seorang penyair yang terkenal dalam zaman Kerajaan Abbasiyah. Daripada
jenis yang sama juga termasuk Hikayat Umar Umaiyah yang telah dipadankan
daripada sebuah karya asal dalam bahasa Arab.
Sumbangan
penulis-penulis selanjutnya dalam bentuk sastera ketatanegaraan yang pada
umumnya telah disusunkan bersumberkan daripada ajaran Islam, malah judulnya
sendiri telah menggunakan bahasa Arab, seperti Bustan al-Salatin (Taman Segala
Raja) yang dikarangkan oleh Syeikh Naruddin al-Raniri, dan Taj al-Salatin
(Mahkota Raja-raja) yang telah dikarangkan oleh Bokhari al-Jauhari.
Pengaruh Islam Di Alam
Melayu - Puisi Melayu
Sumbangan
penulis-penulis Islam termasuk juga dalam pengenalan bentuk- bentuk puisi dalam
Kesusasteraan Melayu yang telah dipadankan dari Arab dan Parsi, seperti syair,
nazam, masnawi, rubai'i, kitab, gazal, kasidah dan lain-lain. Pencipta syair
yang pertama di Alam Melayu menurut Saiyid Mu- hammad Naguib al-Attas ialah
Hamzah Fansuri, seorang pujangga Islam. Dalam karyanya, Hamzah Fansuri
memusatkan persoalan-persoalannya pada soal-soal tasawuf. Hamzah telah menulis
syair-syair seperti Syair Dagang, Syair Burung Pungguk, Syair Perahu, Syair
Burung Pinggai, dan Syair Sidang Fakir. Syekh Abdul Rauf Singkel yang banyak
menulis kitab-kitab agama juga turut menulis syair yang bercorak tasawuf
berjudul 'Syair Makrifat'. Mansur anak murid Abdul Rauf telah menulis sebuah
karya puisi yang bertemakan tasawuf juga berjudul 'Syair Takrif al-Huruf.
Syair-syair yang lain yang bertemakan tasawuf yang tidak dapat dipastikan nama
pengarangnya, seperti Syair Makrifat dan Alam Tasawuf, Syair Mistik dan Tauhid,
Syair Unggas Bersoal Ilmu Akhirat, Syair Kiamat, Syair Cerita Dalam Kubur, dan
lain-lain.
Syair
merupakan bentuk puisi yang agak popular dalam Kesusasteraan Melayu Lama.
Penulis-penulis Islam menggunakannya juga sebagai media untuk menyalurkan
dakwah agama; malah puisi-puisi keagamaan telah ditulis dengan menyentuh
tentang rukun-rukun Islam, rukun-rukun Iman, pengajaran hukum-hukum Islam,
akhlak yang baik dan budi pekerti yang mulia. Penulis-penulis Islam juga turut
mengubahkan cerita-cerita mengenai nabi dalam bentuk syair seperti Syair Nabi Bercukur,
Syair Nabi Yusuf, dan Syair Puji-pujian kepada Nabi. Syair-syair yang tersebut
juga dilagukan dan dinyanyikan dalam perayaan-perayaan Islam, atau dalam
sesuatu istiadat keislaman. Syair-syair lain yang membawakan tema keagamaan
ialah seperti Syair Qawa'id al-Islam, Syair Alif Ba Ta, Syair Ibadat, Syair
Haji dan lain-lain.
Pengaruh Islam Di Alam
Melayu - Perlembagaan
Menurut
perlembagaan Malaysia, agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan Tanah
Melayu (tetapi tidak menjadi agama rasmi di Sabah dan Sarawak) seperti yang
tercatat dalam perlembagaan Malaysia Bab (3) Ceraian (1), iaitu agama Islam
menjadi agama Persekutuan Tanah Melayu. Ceraian (2) pula menyatakan bahawa di
tiap-tiap negeri, melainkan Melaka dan Pulau Pinang, kedudukan Sultan sebagai Ketua
Agama di negerinya seperti yang diakui oleh perlembagaan negeri itu, dan dalam
lengkongan perlembagaan itu segala hak, keutamaan dan kuasa Sultan sebagai
Ketua Agama itu terpelihara. Tetapi dalam sebarang perlakuan, acara-acara dan
upacara-upacara yang telah dipersetujukan oleh Majlis Raja-raja supaya meliputi
kepada seluruh Persekutuan Tanah Melayu, maka tiap-tiap Sultan sebagai Ketua
Agama di negerinya dapat memberi kuasa kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mewakilinya. Bagi negeri Pulau Pinang dan
Melaka Bab (3) itu menyebutkan: "Perlembagaan-perlembagaan negeri Melaka
dan Pulau Pinang akan mengandungi syarat-syarat untuk meng- anugerahkan kepada
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua
Agama Islam di negeri-negeri itu".
Dalam bidang
perundangan mengenai hal-ehwal agama Islam kerajaan negeri mempunyai kuasa
penuh. Kerajaan Pusat tidak boleh membuat sesuatu undang-undang berhubung
dengan agama Islam, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan dengan kerajaan
negeri yang bersangkutan. Menurut perlembagaan itu, bahawa Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama di negeri baginda sendiri
dan juga di negeri-negeri Melaka dan Pulau Pinang, sedangkan di negeri-negeri
lain Sultan masing-masing bertanggungjawab sebagai Ketua Agama. Di tiap-tiap
buah negeri Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk sebuah pejabat agama untuk
mengendalikan pentadbiran hal-ehwal agama Islam. Majlis ini diketuai oleh
seorang Yang di-Pertuan. Di samping itu, terdapat Kadi-kadi dan Kadi Besar yang
ber- tanggungjawab bagi membicarakan soal perceraian, khalwat, tidak berpuasa
di bulan Ramadan, enggan menunaikan sembahyang Jumaat, bersekedudukan dan
perbuatan-perbuatan yang melanggar undang-undang Syarak. Majlis agama juga
bertanggungjawab mengeluarkan tauliah kepada guru-guru agama Islam di dalam
tiap-tiap negeri itu. Di samping itu, terdapat pulajawatan Mufti yang
bertanggungjawab untuk mengeluarkan sesuatu fatwa berkaitan dengan kepentingan
agama dan umat Islam. Majlis Agama bertanggungjawab mengenai harta wakaf dan
Baitulmal dan mentadbirkannya untuk kebajikan orang Islam.
Kutipan-kutipan
zakat dan fitrah adalah terletak di bawah kuasa Sultan yang biasanya melantik
suatu jawatankuasa untuk mengendalikan kutipan ini, dan biasanya tertakluk di
bawah kuatkuasa Majlis Agama Islam. Kuasa Majlis Agama itu menurut perlembagaan
negeri meliputi hukum syarak seperti undang-undang, berhubung dengan harta
pesaka dengan melalui cara-cara wasiat, atau tidak. Mengenai perkahwinan,
nikah, talak, mas kahwin, nafkah, khalwat, bersekedudukan, harta wakaf,
Baitulmal dan juga bertanggungjawab mengenai tempat ibadat, menghukum
orang-orang yang melanggar hukumhukum syarak, kecuali perkara yang terkandung dalam
senarai persekutuan. Mahkamah Syariah hanya berkuasa terhadap orang-orang
Islam. Majlis Agama juga bertanggungjawab mengawal sesiapa yang mencuba
mengembang ajaran dan kepercayaan lain kepada penganut agama Islam.
Menurut
perlembagaan Malaysia Bab (12) Ceraian (2) menyatakan: "Undang-undang
Persekutuan membolehkan diberi bantuan kewangan khas untuk mengadakan atau
menanggung tempat-tempat pengajian Islam, atau mengadakan pengajaran agama
Islam kepada orang-orang Islam. Dengan itu, telah dicatatkan dalam
Undang-undang Pelajaran 1956 Bahagian 49 antaranya menyebutkan. "Manakala
ada 15 orang murid atau lebih beragama Islam di sebuah sekolah yang menerima
bantuan, maka guru agama hendaknya diadakan." Dengan itu, pelajaran agama
telah diberikan dengan cara meluas di semua tingkatan persekolahan di Tanah
Melayu.
Untuk
melicinkan lagi pentadbiran agama Islam, Jabatan Perdana Menteri mempunyai
peruntukan khas untuk mengendalikan hal ehwal agama Islam, misalnya pentadbiran
Masjid Negara terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri. Bantuan
kewangan juga diberi kepada pertubuhan-pertubuhan Kebajikan Islam untuk
usaha-usaha penyiaran Islam di kalangan penduduk Tanah Melayu dan lain-lain
lagi. Kini Jabatan Perdana Menteri menjalankan aktiviti dakwah melalui
Institiut Dakwah Islam dan kegiatan penyelidikan melalui Pusat Penyelidikan
Islam Jabatan Perdana Menteri. (Dr. Ismail Hamid (1985). Pengantar Sejarah Umat
Islam. Kuala Lumpur : Heinemann (malaysia) Sdn. Bhd.)
3.4 Tamadun Melayu
sebagai asas pembinaan Tamadun Malaysia
Tamadun
Malaysia yang sedang dimantapkan sekarang wujud dari satu proses sejarah yang
sambung-menyambung dan dapat dibuktikan melalui pelbagai sumber arkeologi
mahupun sejarah. Dari segi sejarah terbukti bahawa wilayah politik yang bernama
Malaysia sekarang adalah lanjutan daripada politik-politik Melayu seperti
Melaka, Johor, Perak, Pahang, Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri
Sembilan.
Politik-politik
ini juga adalah kesinambungan daripada pelbagai kerajaan Melayu yang pernah wujud
pada zaman sejarah seperti Srivijaya, Temasik (Singapura), Langkasuka, Melaka,
Johor-Riau-Lingga dan lain-lain. Keseluruhan politik ini terangkum di dalam
satu wilayah budaya yang dikenali sebagai Kepulauan Melayu, Alam Melayu atau
Nusantara dan di wilayah inilah Tamadun Melayu wujud berkembang.
Lantaran
fakta sejarah tersebut, maka paksi utama yang menyumbang kepada pembinaan dan
pemantapan Tamadun Malaysia ialah Tamadun Melayu. Setiap politik Melayu yang
disebutkan di atas diperintah oleh raja atau sultan. Sistem pemerintahan raja
berpelembagaan sekarang ini adalah antara sumbangan utama Tamadun Melayu kepada
Tamadun Malaysia. Perlembagaan Malaysia memaktubkan dua institusi, iaitu Yang
diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Yang diPertuan Agong merupakan ketua
utama negara, yang mengetuai tiga badan di dalam kerajaan, iaitu perundangan
(legislative), pemerintahan (executive) dan kehakiman (judiciary).
Sebagai
ketua legislatif, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dalam memperkenankan
undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan
Dewan Negara sebelum diwartakan menjadi undang- undang yang sah. Sebagai ketua
utama negara, baginda melantik Perdana Menteri dan Menteri-menteri, Ketua Hakim
dan Hakim-hakim, Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Malaysia ke luar negara.
Sebagai sumber keadilan negara, baginda juga mempunyai kuasa mengampun setiap
kesalahan sama ada di mahkamah sivil yang dilakukan di Wilayah Persekutuan;
atau mahkamah tentera. Baginda juga adalah pemerintah tertinggiAngkatan
Bersenjata Malaysia, di samping bertindak sebagai ketua agama Islam di Wilayah
Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Yang
diPertua Agong tidak terlibat di dalam politik dan pemerintahan negara, dan
baginda boleh mewakilkan tugasnya kepada sesiapa atau suruhanjaya yang dilantik
oleh baginda. Baginda adalah payung dan paksi kepada perjalanan sistem
pemerintahan. Inilah hakikat sistem raja berperlembagaan kerana baginda tidak
berkuasa mutlak. Baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah
Menteri, seperti termaktub di dalam perlembagaan. Sebagai satu entiti politik,
Malaysia merupakan sebuah negara merdeka yang menjunjung keluhuran perlembagaan
dan kedaulatan undang-undang.
Dari
semenjak zaman sejarah, negeri-negeri Melayu memiliki kanun perundang yang
berasaskan adat Melayu dan perundangan Islam. Negeri Melayu seperti Melaka
memiliki Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Johor dengan
Undang-undang Johor dan Undang-undang Tubuh Negeri Johor (1895), Pahang dengan Undang-undang
Pahang; Kedah dengan Undang-undang Kedah; Terengganu dengan Itqan Al-Mulk
(Perlembagaan Negeri Terengganu 1911); Perak dengan Undang-undang II dan
Undang-undang Keturunan Daripada Turun Negeri Perak; Negeri Sembilan pula
dengan Hukum Adat atau Undang-undang Adat yang terdapat di empat daerah utama,
iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu. Tradisi pemerintahan berasaskan
perundangan dan perlembagaan ini dilanjutkan pula kepada entiti politik
Malaysia.
Semenjak
zaman sejarah sehingga kini, Tamadun Melayu telah dimantapkan oleh Islam. Islam
dan adat Melayu, secara khusus telah menjadi salah satu struktur terpenting
kemelayuan. Islam dan adat Melayu merupakan struktur yang saling melengkapi dan
terintegrasi ke dalam wadah kemelayuan. Islam terus menjadi faktor definitif
Melayu, iaitu Melayu mengamal adat Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam.
Takrifan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi secara meluas di Alam
Melayu. Islam menjadi identiti sosial dan budaya orang Melayu. Islam bukan
sahaja menjadi faktor yang mentakrifkan Melayu, juga dimaktubkan di dalam
perlembagaan Malaysia bahawa Islam adalah agama persekutuan dan setiap raja
atau sultan adalah ketua agama bagi setiap negeri di dalam Persekutuan
Malaysia. Peruntukan ini termaktub di dalam Fasal 3 Perlembagaan Malaysia dan
dengan peruntukan ini membolehkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri
melaksanakan pembangunan Islam dalam pelbagai bidang, termasuk melaksanakan
pentadbiran dan Undang-undang Islam. Dengan termaktubnya agama Islam sebagai
agama Persekutuan Malaysia, tidak bermakna agama-agama lain tidak boleh dianuti
oleh orang-orang bukan Melayu atau bukan Islam.
Perkembangan
Islam di Alam Melayu tidak boleh dipisahkan daripada peranan yang dimainkan
oleh bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa tulisan untuk
sejumlah besar kitab-kitab agama dan kesusasteraan Melayu, malah menjadi
pengantar komunikasi utama perkembangan Alam Melayu. Para pendakwah menggunakan
bahasa Melayu sebagai media komunikasi mereka. Bahasa Melayu menjadi lingua
franca di kalangan para pedagang yang berdagang di kawasan ini. Bahasa Melayu
adalah bahasa persatuan dan kesatuan Melayu di Alam Melayu. Berdasarkan logika
sejarah tersebut, maka dimaktubkan juga di dalam perlembagaan Persekutuan Malaysia
bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.
Akta
Pendidikan 1961, telah menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama sistem pendidikan negara, dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat
pengajian tinggi. Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga menjamin kedudukan
istimewa orang Melayu dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan juga
mengiktiraf akan adanya undang-undang adat yang terlaksana di kalangan orang
Melayu dan juga peribumi Sabah dan Sarawak. Undang-undang adat yang sudah lama
dipakai semenjak sebelum adanya undang-undang bertulis, telah lama digunakan
oleh orang Melayu dan masyarakat peribumi lain, namun undang-undang tersebut
tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Tamadun
Melayu sebenarnya telah banyak memainkan peranan sebagai asas Tamadun Malaysia.
Kemasukan British ke negeri-negeri Melayu telah banyak mengubah landskap budaya
dan ketamadunan. British telah membawa masuk atau membenarkan kemasukan
orang-orang Cina dan India ke negeri-negeri Melayu kerana kepentingan ekonomi.
Semangat kebangsaan Melayu mula berkembang pada awal tahun 1900 apabila
golongan inteligensia Melayu yang berpendidikan Islam menerbitkan akhbar,
seperti Al-Imam (1906) yang cuba membangkitkan kesedaran terhadap agama, bangsa
dan tanah air. Usaha demikian dilanjutkan pula oleh inteligensia Melayu yang
berpendidikan Melayu khususnya dari Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC)
melalui tulisan-tulisan mereka di akhbar-akhbar dan majalah yang berusaha
membangkitkan kesedaran kebangsaan Melayu. Bersama-sama dengan inteligensia
Melayu berpendidikan Inggeris, mereka telah bersatu menentang gagasan Malayan
Union yang cuba diperkenalkan oleh British Military Administration (BMA) pada
tahun 1946. Penentangan terhadap Malayan Union, yang cuba menghapus kedudukan
raja-raja Melayu dan memberi kerakyatan kepada orang asing, telah
menyatupadukan semua orang Melayu dari pelbagai negeri Melayu untuk menentang
penjajahan dan menuntut kemerdekaan. Akhirnya pada 31 Ogos 1957, Persekutuan
Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan, pada 16 September 1963, Sabah
dan Sarawak bersetuju menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Semangat
Melayu yang berasaskan Islam telah berjaya menyatupadukan orang Melayu dan
merupakan instrumen terpenting untuk mencapai kemerdekaan negara bersama-sama
rakyat bukan Melayu. Intrumen ini juga berjaya menghapuskan ideologi komunis
dari negara ini. Inilah sumbangan terbesar Tamadun Melayu dalam pembentukan
negara dan bangsa Melayu yang harus difahami oleh semua rakyat Malaysia danjuga
dunia luar.